MARRIAGE & SINGLEHOOD

Bila saya berani bercakap mengenai perkahwinan, dan berani memberi panduan dan nasihat, bukan bererti saya isteri mithali, dan perkahwinan saya bahagia dan suami redha terhadap saya 24/7. Sebagai seorang Kaunselor Profesional Berdaftar, saya juga menyediakan sesi kaunseling melalui Klinik Kaunseling Online atau Bersemuka. Kaunseling yang disediakan meliputi bidang Psikologi Islam, Terapi Tingkahlaku Kognitif Islam, pendidikan Al Quran, dakwah psikologi, dan terapi perkahwinan dan famili.
Bila bercakap menyokong institusi poligami, bukan bererti saya isteri pertama yang mithali, berpakaian sedondon dan rela memeluk madu :) Cuma, Allah telah aturkan bagi saya melaluinya sebanyak dua kali, dan kedua-duanya tidak berpanjangan dengan jalan cerita masing-masing. Malah, tidak mustahil kalau tiba-tiba Allah pilih untuk takdirkan saya menjadi tunggal semula dan mati sebagai wanita tunggal. Maka kenapa saya berani ke depan bercakap mengenai perkahwinan, dan bagaimana untuk bahagia dalam perkahwinan?
Kerana perkahwinan adalah sunnah yang Allah letakkan untuk kita, dan ia sunnah Rasulullah. Juga kerana saya ditakdirkan Allah sebagai insan yang amat memerlukan kehidupan berkahwin. Maka dalam usaha menjadi hamba Allah yang baik, saya lebih cenderung berusaha mencapainya dalam status berkahwin. Memang saya amat mengakui berapa bagusnya institusi perkahwinan yang Allah berikan kepada kita.
Semoga sahabat yang bersama saya tidak menilai status dan sejarah 'kegemilangan' perkahwinan saya untuk melihat kredibiliti saya, tetapi mengukur dari segi kesungguhan mengusahakan untuk berbahagia dan bertahan dalam status perkahwinan sebagai pilihan hidup. Kita juga menerima status tunggal sebagai salah satu dari corak rumahtangga. Tidak semestinya semua di antara kita mempunyai pasangan hidup dalam rumahtangga kita. Solo juga adalah cara hidup yang Allah pilih untuk sebahagian dari kita. Dan orang solo atau tunggal juga punya rumah dan tangga. Maka kita bincang kesemuanya. Yang penting, status rumahtangga bagaimana pun yang Allah takdirkan ke atas kita, kita belajar untuk redha dengan takdirnya, dan kita bincang cara terbaik untuk mengharunginya agar kita cemerlang di mata Allah.
Apa orang lain fikir tentang kita, itu tak penting. Yang penting, kita bahagia dalam usaha mendapatkan keredhaan Allah. Siapa setuju dengan pendirian saya ini, dijemput untuk berikan komen anda.
Apa itu sempadan dalam perkahwinan?
Antara perkara penting yang kita perlu pelajari untuk kenal, sedar dan pantau dalam perkahwinan adalah sempadan.
Sempadan adalah garis pemisah. Terdapat garis antara dua diri, dan terdapat sempadan antara pasangan dan orang di luar perkahwinan. Sempadan ini tidaklah sebagai garis yang boleh dilukis di peta, tetapi boleh dikenali melalui persetujuan peraturan tingkahlaku antara pasangan. Banyak masalah boleh difahamkan sebagai sempadan yang di langgar, atau perhubungan yang tidak jelas sempadannya. Untuk memahami apa itu sempadan, cuba fikirkan apa peraturan yang sudah dipersetujui mengenai aku, kamu, dan mereka.
Anda boleh fikirkan contoh-contoh yang simple. Sekiranya ada contoh yang agak rumit dan lebih peribadi, anda boleh hubungi saya di 0124221900. Cerita anda pasti dirahsiakan secara etika. Sekiranya anda memerlukan sesi kaunseling, anda boleh tempah sesi kaunseling di sini.