Dua kali Allah aturkan untuk saya merasakan 'mini kematian'. Yang pertama, setelah saya meninggalkan sebahagian dari kehidupan dunia, saya tidak dapat lagi mengambil manfaat dari kehidupan tersebut. Ini bukan cerita sakaratul maut, tapi sekadar mengimbas pengalaman tidak dapat lagi menikmati sebahagian dari harta yang Allah pinjamkan. Allah telah ambil kembali walau pun saya masih lagi di dunia. Bagi saya, ia suatu pengalaman di mana 'dunia meninggalkan kita'.
Di pejabat, thumb-in ibu jari saya sudah tidak diterima lagi. Yang selama ini menjadi bilik saya, sudah dihuni orang lain. Sahabat yang mewarisi bilik pejabat saya memang berikan kunci salinan supaya saya sentiasa boleh lepak di sana. Mi casa su casa. Namun selepas beberapa lama, kunci dalam simpanan saya pun hilang. Akhirnya lepak di bilik rehat sahaja. Peti surat di bilik rehat juga sudah pastinya tidak tertulis nama saya. Saya ingin bertandang ke bilik kawan-kawan tetapi mereka semua punya tugas masing-masing dalam kampus dan di luar. Saya betul-betul merasakan yang saya sudah arwah di kampus walaupun saya belum arwah di dunia ini. Insaf.
Pengalaman kedua lebih menginsafkan, apabila rumah serta isi di dalamnya, tidak dapat saya manfaatkan lagi. Dengan takdir Allah, berlaku perubahan struktur keluarga, dan saya berpindah dari Jitra ke Langkawi. Setelah anak bongsu saya masuk kampus, rumah di Jitra menjadi kosong dan menunjukkan kecenderungan untuk rosak jika dibiarkan terus tanpa penghuni. Banyak kelengkapan seperti tilam, peti sejuk, dan sebagainya, dilepaskan dengan harga murah atau disedekahkan. Sedangkan di Langkawi, saya perlu membeli baru kelengkapan yang sama. Banyak yang tidak berbaloi dipindahkan menyeberangi laut ke Langkawi. Maka insaflah saya bahawa semasa di dunia pun banyak harta yang tidak boleh dibawa bersama. Di akhirat nanti lebih banyak perkara yang tidak boleh dibawa. Sedangkan banyak keperluan yang tidak boleh dibeli di sana. Ketika melalui fasa-fasa mengemas rumah, berlaku penyesalan atas terlalu banyaknya barangan yang dibeli dan dikumpul selama ini. Barangan yang sudah tidak boleh dimanfaatkan lagi, malah menjadi beban yang perlu diurus. Perbuatan diiringi dengan istighfar. Ampunkan dosaku ya Allah kerana terlalu mudah membeli, dan menompokkan harta yang akhirnya banyak menjadi pembaziran.
Namun saya bersyukur kerana Allah beri peluang penyesalan semasa masih di dunia. Masih boleh beristghfar. Barangannya masih boleh dikurangkan pembaziran secara jualan murah, sedekah dan akhir sekali diserah kepada pihak Idaman, syarikat pelupusan tempatan.
Semoga pengalaman ini membuatkan saya lebih berhemah berbelanja dan menggunakan harta dunia, dan semoga saya bersiap-sedia dengan 'harta' atau matawang yang boleh dibawa ke akhirat nanti. Saya kongsikan ini dengan harapan ramai sahabat yang tumpang insaf dengan pengalaman saya merasakan harta yang ada yang Allah tidak izinkan lagi saya mendapat manfaat daripadanya, malah hanya sebagai beban yang perlu ditanggung dan diurus, untuk diwarisi anak-anak sahaja. Ia bukan lagi untuk saya. InsyaAllah rumah saya di Langkawi, kemungkinan juga rumah terakhir saya, hanyalah rumah sewa kecil ala pondok, dengan barang keperluan harian sahaja. Saya berharap andai saya mati di situ, tidak memerlukan sesiapa memproses apa-apa. Hanya perlu diselesaikan deposit rumah, dan barangan disedekah sahaja kepada jiran. Tidak ada gambar album, hadiah sentimental atau barang kenangan. Hari ini mati dan kebumikan, besok kembalikan saja kepada tuan rumah.
Comments